Masalah Air Kotor di Kampung Lubuk Kadam,Geyet dan Talang Ulu
Lebih mengecewakan, gangguan bekalan air kerap berlaku sejak kebelakangan ini, setelah paip utama di kampung sering pecah. Penduduk Hasbullah Hasan, 33, berkata, gangguan bekalan air berpunca dari paip utama yang berusia lebih 30 tahun. “Bayangkan, dalam tempoh dua minggu berlaku empat kali paip pecah hingga mengganggu rutin harian penduduk. “Keadaan ini berlaku kerana mungkin kedudukan kampung kami berhampiran dengan Empangan Talang dan ditambah pula, tekanan air semakin meningkat pada jam 12 hingga 5 pagi disebabkan kurang penggunaan air. Ini terbukti apabila padi tadi (semalam), berlaku sekali lagi paip pecah dan kontraktor dari Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) sedang membaiki kerosakan itu,” katanya. Paling membimbangkan katanya, jarak paip pecah itu tidak jauh antara satu sama lain dan jika paip utama masih tidak berganti, masalah itu tidak akan selesai. “Kami merungut ada asasnya. Di kampung ini, majoriti penduduk adalah warga emas dan sedikit sebanyak membebankan mereka jika tiada air. Meskipun gangguan bekalan air seketika sahaja tetapi jika kerap kali berlaku, mendatangkan masalah kepada kami. Hendak basuh baju, memasak, semua rutin harian tergendala ditambah pula, air itu berkeladak, berkarat, berklorin. Memang sangat membebankan,” katanya. Sementara itu, ibunya, Sarifah Ismail, 71, berkata, dia pernah membuat aduan serupa pada 2015, tetapi tetapi masih lagi di takuk yang lama. “Rata-rata paip utama di kampung ini sudah berusia lebih 30 tahun dan wajar diganti dengan paip baru. Meskipun anak telah memasang penapis air tetapi masalah air seperti berkarat, berkeladak dan berklorin tetap berlaku. Sampai bila kami nak berhadapan masalah ini?,” soalnya. Sarifah berkata, dia berharap pihak berkaitan dapat menggantikan paip utama dengan paip baharu bagi mengatasi masalah dialami mereka.
No comments:
Post a Comment