Friday, December 15, 2017

Penduduk resah air kotor


SUNGAI PETANI 1 Dis. – Penduduk di lebih 10 buah rumah di Pekan Tikam Batu, Jalan Kampung Berapit di sini tertekan apabila terpaksa menghidu bau busuk air kotor yang mengalir dari pasar terletak berdekatan sejak lebih lima hari lalu.

Rata-rata penduduk di situ memberitahu, kehidupan mereka terganggu dengan bau busuk air yang bergenang di laluan dan halaman masuk ke rumah mereka.


Justeru, mereka meminta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) membina longkang khusus bagi mengalirkan air kotor itu dari pasar ke kawasan lain.

Penduduk, Rosmina Ahmad, 47, memberitahu, perkara itu perlu­ diberi perhatian dan tindakan segera oleh pihak MPSP sebelum ia menjadi lebih buruk.

“Setiap hari terpaksa melihat air kotor masuk di kawasan rumah, elok diberi pemantauan kerana airnya berbau busuk, buatlah longkang bagi memudahkan air kotor itu mengalir ke kawasan lain,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, air kotor dari pasar terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya masuk ke kawasan tersebut selepas saliran air yang sepatutnya mengalirkan air kotor ke kawasan lain ditimbun tanah.

“Jadi air kotor itu terus melimpah di kawasan ini pula, mahu balik ke rumah dari pekan terpaksa lalu dalam air kotor,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Raha­nah­­­ Saidin, 58, pula berkata, sesiapa saja tidak suka berada tinggal di dalam tempat mengandungi air kotor.

Menurutnya, pihak bertanggungjawab perlu mencari kaedah sesuai dalam menangani kes-kes seperti itu.

“Bila air kotor dan berbau busuk berada sekeliling rumah, tentulah ia menyebabkan hidup menjadi tidak selesa,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Harun Abdullah, 56, berkata, air kotor masuk di dalam kawasan rumah tentulah meresahkan hati sesiapa sahaja.

“Pihak berkenaan telah datang berbincang dan berdialog dengan penduduk tetapi tidak ada tindakan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment