- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta tidak melengahkan kerja-kerja membersihkan Tasik Metropolitan yang didakwa menyebabkan bau busuk kepada pengunjung serta lebih 500 buah keluarga di Jalan Laman Rimbunan, Kepong, dekat sini.
Pengerusi Persatuan Penduduk Laman Rimbunan Kepong, Go Kim Peng berkata, mereka hidup dalam keadaan yang tidak selesa ekoran bau busuk yang tidak menyenangkan itu.
Menurutnya, penduduk percaya bau busuk itu berpunca daripada permukaan air yang mengandungi najis dan sampah yang dilitupi bunga teratai.

Utusan Malaysia difahamkan, masalah itu telah dibangkitkan penduduk sejak tahun lalu lagi kepada DBKL dan kerja-kerja pembersihan tasik telah dilaksanakan.
Namun kurang setahun kerja-kerja pembersihan dilakukan bau busuk daripada tasik tersebut kembali berulang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib sebelum ini dalam reaksinya berhubung masalah itu berkata, perbuatan membuang sampah ke longkang dikenal pasti punca utama air di Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini kotor dan tercemar.
Sementara itu Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata, selepas melakukan tinjauan sendiri pihaknya mendapati terdapat najis yang terapung di tengah-tengah tasik tersebut dan terperangkap di celah-celah pokok teratai.
"Kami menaiki rakit sehingga ke tengah tasik untuk mengetahui punca berbau busuk dan alangkah terkejut kerana terdapat najis yang tidak tahu dari mana datang, terapung di permukaan tasik.
"Baunya memang sangat busuk sehingga menganggu pengunjung untuk beriadah. Lebih teruk penduduk Taman Kepong Indah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri juga terpaksa menutup tingkap rumah mereka setiap masa," katanya.
Tambah Poh Ping, pihaknya telah menghubungi DBKL dan beberapa pihak lain dan berjanji menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya akan diambil.
No comments:
Post a Comment