Sunday, December 2, 2018

SUNGAI PETANI 26 Ogos - Sudah lebih lima tahun menunggu, sehingga kini kira-kira 1,000 penduduk Kampung Permatang Gedung dekat sini masih tercari-cari penyelesaian terhadap masalah limpahan kolam takungan air kotor serta jijik yang membanjiri jalan utama ke kampung mereka.

Bukan tidak pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun masalah tersebut yang sering mendatangkan segala macam bahaya serta penyakit kepada penduduk, selain menyebabkan jalan rosak seolah-olah tidak dipedulikan.


Salah seorang daripada mereka, Abdullah Wahab, 40, memberitahu, air kolam takungan dari Taman Sejati Indah yang terletak di atas bukit bersebelahan jalan tersebut, seringkali penuh dan membanjiri jalan utama sepanjang kira-kira 150 meter sehingga ke paras betis terutamanya selepas hujan.

“Kami tiada pilihan dan sudah lali meranduk air kotor yang membawa segala jenis penyakit itu sejak lima tahun lalu. Bukan tidak pernah membuat aduan tetapi suara kami di sini seakan tidak dipedulikan sedangkan masalah ini sudah dibangkitkan sejak sebelum pilihan raya umum lalu lagi.

“Bukan saja kolam takungan itu, malah longkang besar yang menyalurkan air kotor ke kolam tersebut juga akan melimpah ke rumah penduduk kampung yang terletak di bawah bukit. Maka tidak hairanlah kami di sini sering berdepan masalah denggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia ke tempat kolam takungan itu mendapati, kolam tersebut langsung tidak diselenggara dengan pagar di sekelilingnya kebanyakannya sudah roboh akibat berkarat selain keadaan dalam kolam juga dipenuhi tumbuhan dan sampah yang meminimumkan kemampuan menampung jumlah air.

Seorang lagi penduduk, Suhardi Abas, 38, memberitahu isteri dan anaknya pernah menjadi mangsa keadaan apabila terjatuh ke dalam ‘banjir’ air kotor itu ketika terpaksa meredahya untuk menghantar anak ke sekolah.

“Ketika itu isteri dan anak yang menunggang motosikal berselisih dengan kereta. Dalam keadaan tidak stabil, kedua-duanya terjatuh dan dibasahi air yang menjijikkan itu menyebabkan mereka terpaksa berpatah balik untuk menukar pakaian.

“Isteri saya bukan yang pertama jatuh di situ. Kami berharap keadaan ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Idris Ayob memberitahu, kali terakhir pihaknya membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) adalah pada 24 April 2014.

“Tetapi sehingga kini tiada penyelesaian. Wakil rakyat tidak pernah menjenguk sementara Ahli Parlimen, Datuk Johari Abdul cukup sukar untuk bertemunya walaupun sudah beberapa kali kami berkunjung ke pusat khidmatnya di sini sejak dua penggal beliau memenangi pilihan raya,” katanya.




No comments:

Post a Comment