Friday, November 30, 2018

MATU: Sebahagian daripada 17,000

MATU: Sebahagian daripada 17,000 penduduk di Daerah Matu kini berdepan dengan masalah tekanan air yang rendah. Lebih perit lagi ada ketikanya air yang keluar dari saluran paip ke rumah penduduk kotor seperti air sungai selepas hujan.

Ekoran daripada keadaan tersebut penduduk di daerah berkenaan kini begitu sukar untuk mendapat bekalan air bersih yang untuk kegunaan seharian lebih-lebih lagi dalam ketika penduduk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan sekarang.

Masalah tekanan rendah dan kualiti air yang teruk bukan perkara baharu bagi penduduk namun keadaan tersebut kini kian meruncing apabila ia berlaku ketika penduduk menjalani ibadah puasa dan secara kebetulan juga kini musim cuti sekolah yang menyaksikan ramai penduduk yang balik bercuti di kampung menyebabkan penggunaan bertambah dari biasa.

Lebih menyedihkan lagi, penduduk di Kampung Tian dalam daerah yang sama kini berdepan masalah air kotor dan dan tidak dapat diminum.

Akibatnya, penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk membeli air minuman botol (air mineral) sebagai kegunaan memasak dan untuk berbuka puasa.

Mengutip luahan nitizen yang terjejas akibat masalah itu, kebanyakan mereka berang dengan keadaan yang berlaku kini. Dan tiadanya tindakan segera oleh pihak berkenaan bagi memulihkan keadaan tersebut membuatkan penduduk mula hilang sabar dan menjadikan laman media sosial sebagai medan melepas apa yang terbuku di hati kepada pihak yang berkenaan.

Seorang penduduk, Noralizza Arshad berkata, penduduk kini amat bimbang jika masalah air yang dialami berlarutan sehingga menjelang Syawal.

“Hari Raya ramai yang akan pulang berhari raya di kampung.Sekali gus akan menyebabkan peningkatan penggunaan air. Jika tiada langkah segera diambil sambutan Hari Raya tahun ini akan terencat dan tidak semeriah sebelum ini.

“Saya mewakili penduduk di sini merayu kepada pihak berkenaan agar dapat bertindak segera untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi kami sini. Jika tiada cara lain tolonglah hantar air bersih untuk kami dengan apa cara sekalipun dengan lorikah, dengan kapalkah. Yang penting penduduk ada sumber untuk dapat air bersih,” ujarnya.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rohani Shatu, seluruh penduduk Daerah Matu menerima bekalan air dari loji perawatan air yang terletak di hulu Kampung Tian.

“Matu terdiri daripada beberapa kampung. Tiga kampung memiliki penduduk tertinggi iaitu Kampung Sekaan, Bawang, dan Tian. Tidak terkecuali Kuala Matu.

“Penduduk ramai, jadi loji sudah tidak mampu memenuhi permintaan penduduk yang kian bertambah. Usaha memperbesar saluran paip induk bawah tanah perlu dilakukan dengan kadar segera. Sejak loji air dibina saluran paip utama belum pernah dinaik taraf atau ditukar. Ini menjadi antara sebab yang menyumbang kepada masalah tekanan air rendah dan kotor.

“Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) telah lama diperkenalkan. Jadi harapan kami bawalah RTP ke daerah bermasalah ini bagi menjana perubahan dan pembawa arus pembangunan untuk kami di sini. Air adalah keperluan asas yang tidak boleh dipandang enteng selain pembangunan prasarana seperti jalan raya dan juga elektrik,” ujarnya.

Tambah Rohani lagi, ketiadaan air bersih menambah bebanan penduduk. Penduduk perlu membeli air minuman dalam botol. Air berkenaan berharga dari RM 9 hingga RM12 (sekotak, 12 botol, 1.5 liter).

“Terpaksa membeli air satu lagi beban yang perlu ditanggung penduduk yang kurang mampu dan juga bagi golongan warga emas,” jelasnya.

Harapan penduduk kini, masalah yang sedang melanda Daerah Matu akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment